Ahad, 16 Mac 2014

Untukmu dari Hatimu.


Kepada si manis peliharaan ALLAH s.w.t,

Mengapa dirimu sering bersedih dengan ujian yang sedang dilalui?
Mengapa matamu yang jernih itu sering dibasahi air mata untuk seseorang yang tidak akan mendatangkan manfaat kepadamu?

Janganlah dibazirkan air matamu itu demi sesuatu yang tidak bermakna dan merugikan diri sendiri.
Apakah telah lupa kepada Pemilik nyawa? 

Sekarang... pejamkan mata dan rasailah gerak hati yang bersih. Dapatkah dirimu rasakan yang DIA bersama dan sedang memujuk dan memelukmu bersama dengan kalimah-kalimah suci yang terangkum menjadi satu kitab cinta umat Islam yakni Al-Quran?

Ingatlah... dirimu tidak pernah keseorangan tatkala berasakan dunia ini meminggirkanmu. Tahukah dirimu bahawa hidup ini tidak sentiasa gembira dan ceria?

Setiap manusia itu pasti melalui pancaroba berdasarkan kemampuan. Mengukur kemampuan itu adalah di luar kebolehan insan yakni hanya ALLAH sahaja yang mengetahui. Anggaplah bahawa ujian itu sebagai tarbiyah agar tidak alpa dalam kehidupan.

Ingatlah wahai si manis,
ALLAH tidak akan menurunkan sesuatu ujian itu jika tidak mampu menghadapinya. Oleh itu, hadapilah ia dengan tenang dan sabar. Sesungguhnya ALLAH sentiasa bersama hamba-NYA yang sabar.

Si manis juga harus ingat, kesusahan dan kepayahan yang dilalui hari ini akan mematangkan dan mewarnai hidupmu kelak. Malah InshaAllah, dirimu akan berdiri cemerlang dengan kehendak-NYA. Ingatlah kepada Yang Khaliq, Maha Pencipta. DIA akan sentiasa berada di sisi tidak kira ketika susah mahupun senang.

Wahai si manis, hentikanlah tangisanmu. Bersihkan wajahmu dengan wuduk supaya nur kebahagiaan kembali terpancar di wajah. Tabah ya, si manis dan teruskan perjuangan dengan penuh keyakinan. Berdoalah kepada ALLAH agar membawa pergi dukamu saat titisan air itu mengalir membasahi anggota bagi mensucikanmu. Raupkan wajah dengan air mutlak bagi menyinari wajahmu yang sendu. Usapi tanganmu serata-ratanya dengan harapan sentuhan-sentuhan lalu yang bergelang dosa dapat disucikan. Sentuhi pula ubun-ubun dengan kejernihan air yang mengalir agar dapat meringankan duka yang sedang membeku dan menyinggahi pundakmu. Sucikan pendengaran agar dirimu hanya mendengar bait-bait indah yang mampu mententeramkan dan semoga penyucian sebahagian kaki dapat membawa langkah-langkah menuju keindahan syurga. Justeru, ikhlaslah bersimpuh dan bersujud menghadap ALLAH yang sangat Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hamba-NYA.

Bermula saat ini, berhentilah daripada meratapi nasib kerana rintihan sendu yang meratapi keadaanmu itu datangnya daripada bisikan syaitan durjana. Mohonlah kepada-NYA agar diberi kekuatan dan pertolongan dalam melalui dugaan hidup. Kembalilah untuk tersenyum dan tabah dengan ujian.

Memang benar, lidah berbicara petah belum tentu sendi berpahat kukuh.

Pesan terakhir, jangan lupa untuk bersolat dan bersujud sepenuh hati kerana disitulah punca kedamaian dan kebahagiaan. Bersedialah untuk mengejar cantiknya ufuk fajar sebelum ia terbenam dan tidak muncul kembali.


~ Tika Bidadari Berbisik ~

Selasa, 4 Mac 2014

Buku..

Terkesan saya dengan situasi diri..
Hati yang telah hitam ini hampir seminggu lamanya bersedih, sampaikan terkesan pada kesihatan diri.. 

Sungguh, saya tidak betah dalam keadaan begini, hati kecil saya mendesak untuk mendapatkan motivasi, motivasi yang membuat diri,hati,jiwa dan perasaan berubah..

Saya ingin meraikan hasrat hati.. Ada kesempatan kaki saya melangkah ke mall, tujuan utama ke kedai buku, puas saya mencari, hati masih belum berkenan satu pun pada puluhan buku motivasi yang ada..

Terasa berduka seketika dan lelah bila hati asyik berbicara " Tolonglah hatimu ini, aku tidak sanggup menanggung kesedihan yang tidak sepatutnya". Alhamdulillah, takdir ALLAH sangat indah, saya bertemu sebuah buku " novel " motivasi dari seorang ustazah ditempat kerja.

Sebelum ni saya pegang dan bawa balik novel ini untuk dibaca, tetapi 'berat' untuk saya buka. Kali ini, ALLAH aturkan kaki melangkah ke rak, tangan menggapai naskah tersebut. Syukur alhamdulillah ALLAH bagi kelapangan untuk saya terus mengutip motivasi hebat didalam buku ini.

Benar kan hati ini milik ALLAH, ALLAH yang mengatur segala-galanya dengan Cinta-NYA yang suci.. Terima kasih Ya ALLAH, berkatilah perjalanan ini, redhakanlah kaki ini melangkah ke depan..

Isnin, 3 Mac 2014

Bila ALLAH mengujiku..

Sebenarnya ALLAH mengujiku..

Telah terlalu lama aku lalai dengan cinta dunia..
Kata hati " aku ingin memperbetulkan hatiku dahulu agar luaranku akan berubah cara yang sempurna "..

Tapi aku masih lalai..
Terlalu leka dengan cinta dunia.. Cinta yang sememangnya anugerah ILAHI yang telah dicemarkan.. Telah terlalu jauh aku lalai..

Dengan itu ALLAH menghadiahkan ujian padaku untuk aku sedar yang masa sudah terlalu suntuk.. Bukan masa untuk aku lalai..

Mati itu pasti, hidup inshaAllah.. Jodoh pula.. Ianya satu bonus dalam kehidupan di dunia..

Tidak aku nafikan.. Dalam mendidik hati yang telah hitam ini, terasa sangat perit.. Moga ALLAH membantu diriku..

" Wahai hati yang kecil, sedarlah, kau tidak punya masa di dunia, tabahlah wahai hati, bantulah srikandi kehidupan ini untuk merubah diri, tetaplah dikau dijalan syahadah dan iman, zikirlah.. ALLAH..ALLAH..ALLAH pada setiap saat dan masa supaya dikau tidak diganggu oleh syaitan dalam proses perubahan mu".

Tenanglah wahai srikandi kehidupan, dikau tidak sendiri, ada ALLAH bersamamu.. Teruskanlah langkahmu, majulah dengan semangat juang, berdoalah selalu moga ALLAH membimbingmu saat kamu lemah dan moga ALLAH meminjamkan semangat srikandi terdahulu kepadamu..

Ahad, 2 Mac 2014

Buat Bidadari Bersendirian

Apa khabar wahai bidadari milik ALLAH.

Saya juga hanyalah insan seperti kalian. Seorang perempuan yang dilahirkan tanpa keistimewaan, hanya manusia biasa. Namun takdir yang dijalani tidak serupa seperti kalian...

 Manusia ini ditakdirkan dengan corak hidup yang berbeza-beza. Meskipun pepohonan akar kita berbeza, inshaAllah di hujung ranting akan bertemu satu jalan yang sama.

 Kalian, Saya tidak bertuah seperti kalian yang dikurniakan ILAHI seorang suami dan permata-permata soleh dan solehah sebagai pewaris agama dan keturunan. Sangat cemburu rasa di hati melihat hadiah ALLAH kepada kalian. Namun akhirnya saya meyakini kebahagiaan kalian di dunia ini adalah berbentuk demikian dan kebahagiaan yang saya terima adalah dengan cara yang berbeza.

 Bujang, Hmm...status bujang selalu dikaitkan dengan hidup tanpa kongkongan, kesepian ataupun pengganggu rumah tangga orang. Bukanlah sesuatu yang membanggakan apabila memegang gelaran single atau bujang. Apa yang dapat dipersuratkan hanyalah 'takdir'. Bukankah kita disuruh percaya kepada qadak dan qadar.

 Acap kali, orang bujang seperti saya mengeluh, " Untungnya kawan-kawan aku yang dah kahwin. Seronoknya bila tengok kawan-kawan ada anak."

 Saya berasa begitu sehingga mengalami fobia untuk membuka laman facebook kawan-kawan lama. Kalau boleh rasa ingin menghindari dan tidak mahu bertanya khabar mereka kerana dibimbangi diutarakan 'pertanyaan-pertanyaan maut' yang berulang-ulang. Contohnya, " kau bila lagi?", "umur dah tua, nak tunggu apa lagi?", "Bilalah nak rasa nasi minyak" dan banyak lagi.

 Kesimpulan di sini, bukanlah sombong atau mendabik diri tetapi kerana malu dalam bahagia! Mudah-mudahan kawan-kawan memahaminya.

 Jadi maafkan sahaja wanita-wanita status bujang ini sekirannya mendiamkan diri dan menjauhkan diri daripada teman-teman.

 Oleh itu wahai bidadari bersendirian, bersyukurlah dengan keadaan sekarang, kerana amanah seorang isteri itu amat berat dan terkadang tidak tertahan dek hati, tidak tertampung dek perasaan, tidak tertampan dek jiwa, tidak tergambar dek perkataan. Percayalah..


~ Tika Bidadari Berbisik ~