Ahad, 6 April 2014

Apabila Senja Melabuhkan Tirainya (Part 1)

Senja kala.. ada apa sebenarnya dengan senja..?
Teringat sewaktu kecil ketika di kampung, atuk selalu bising apabila hari sudah merangkak senja.  Semua cucunya diarahkan naik ke rumah dan bersiap-siap membersihkan diri.  Kemudian duduk diam-diam di dalam rumah, semua pintu dan tingkap diarahkan tutup.  Seolah-olah seperti ada geroda yang hendak menyerang.  Tidak ada siapa pun berani untuk membuka mulut dan bermain-main lagi.  Kata atuk, kalau hendak mandi jangan ketika waktu azan berkumandang.

Saya pasti, ada dikalangan kalian pun dididik sebegitu oleh atuk @ nenek kalian.
Kini, apa yang dididik sewaktu dahulu hampir dilupakan.  Kalau tidak percaya pergilah pasar malam waktu hampir maghrib, ramainya orang amat luar biasa dari waktu lain.  Ketika azan berkumandang masa itulah orang datang berpusu-pusu untuk membeli.

Mungkin katanya moden sangat, sudah tidak hirau lagi waktu senja, tengah malam, subuh atau rembang.  Main langgar saja sedangkan di dalam hadis sudah jelas disebut tentang larangan waktu senja.  Dua kali disebut tentang larangan keluar waktu senja di dalam sahih Muslim.

 Dari Jabir bin Abdullah r.a.  katanya Rasulullah s.a.w.. bersabda, " Bila hari telah senja, laranglah anak-anak keluar rumah kerana ketika itu syaitan berkeliaran.  Satu jam sesudah itu bila telah malam biarkanlah mereka. Kuncilah pintu dan sebut nama ALLAH, kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang terkunci (dengan menyebut nama ALLAH).  Tutup tempayanmu dengan menyebut nama ALLAH.  Tutup semua bejanamu dengan menyebut nama ALLAH, sekalipun dengan membentangkan sesuatu dia atasnya dan padamkanlah lampu (ketika hendak tidur)". (HR Muslim)

Sebuah lagi hadis dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w.yang bermaksud, " Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja.  Kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilang cahaya senja". (HR Muslim)

Inilah peringatan yang semakin dilupakan dan diambil ringan kerana menyangka ia sekadar larangan orang tua-tua.

**** Apa Rahsia Senja Sebenarnya..? ****

Menurut Pengarah Sekolah Pengajian Islam, Kolej Antarabangsa IKIP Kuantan, Dr. Mahyuddin Ismail, senja adalah waktu peralihan antara siang dan malam.  ALLAH telah menetapkan aturan yang khusus buat makhluk-NYA pada kedua-dua waktu tersebut.  

Firman ALLAH Taala dalam Surah An Naba' ayat 10-11, " Dan Kami telah menjadikankan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi), dan kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) sebagai masa untuk mencari rezeki."

Rasulullah pernah mengingatkan umatnya tentang godaan dan gangguan yang datang pada malam hari. Sesungguhnya di dalam sebuah hadis nabi telah bersabda, " Sekiranya manusia mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya mereka tidak akan berani berjalan sendirian di malam hari."

Antara tabiat syaitan ialah mereka suka berada di antara dua situasi atau dua keadaan.  Contohnya, antara siang dan malam, antara teduh dan panas terik, antara sejuk dan panas, antara hujan dan panas.

Jika dianalisis lebih mendalam, lautan yang terletak pertembungan anatara dua arus menjadi lokasi pilihan syaitan dan iblis untuk menbina istananya.  Kepercayaan bahawa Segitiga Bermuda dan Segitiga Formosa (iaitu kawasan yang selalu berlaku kehilangan kapal laut dan pesawat secara misteri) sebagai kawasan yang dikuasai oleh kerajaan  jin mungkin ada benarnya.  Kajian sains menunjukkan kedua-dua segi tiga tersebut merupakan kawasan pertemuan antara arus air hangat dan air yang dingin." jelas Dr.Mahuyddin yang juga penulis buku Ahli sihir ke Tali Gantung.

Begitu juga, Ibnu Qayyim Al Jauzi berkata, senja ialah waktu yang paling disukai syaitan.  Pergerakan syaitan pada malam hari lebih hebat berbanding pada siang hari.  Sebab kegelapan malam memberikan kekuatan kepada mereka.  Selain kegelapan, warna hitam turut memberikan kekuatan kepadanya.  Pemuja-pemuja syaitan kebiasaannya memakai panji dan pakaian berwarna hitam.  Rasulullah s.a.w. juga menyuruh agar membunuh anjing berwarna hitam yang mempunyai titik putih di atas mata kerana ia adalah syaitan.

Bagi menghindari dari diganggu oleh makhluk-makhluk yang berkeliaran ini, maka islam menetapkan beberapa ketentuan yang boleh dijadikan sebagai panduan keselamatan.


~ Sumber : Majalah Al-Islam (November 2011) m/s 12-13 ~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan