Isnin, 7 April 2014

Apabila Senja Melabuhkan Tirainya.. (Part 2)

**** Laranglah Anak-anak Keluar Rumah ****

Dr. Mahyuddin juga mengutip pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Bari.  Di dalam kitab itu dikatakan anatara hikmah Rasulullah s.a.w.. melarang anak-anak bermain di luar rumah pada waktu senja ialah kebimbangan terhadap gangguan syaitan.  Pada saat itu, kotoran-kotoran dan najis-najis yang sangat disukai oleh syaitan biasanya masih melekat pada diri anak-anak ketika mereka leka bermain.

Kanak-kanak juga tidak dibentengi diri mereka dengan amalan-amalan zikir yang boleh mencegah gangguan syaitan terhadap mereka.  Ketika syaitan-syaitan berkeliaran, biasanya mereka akan bergantung pada apa sahaja yang boleh mereka jadikan gantungan.  Kerana itu dibimbangi terjadi hal-hal yang tidak diinginkan pada anak-anak itu.

Dari satu aspek lain, kanak-kanak terutamanya yang belum mumayyiz memiliki hati yang bersih daripada dosa dan tiada hijab.  Keadaan itu memungkinkan kanak-kanak dapat melihat makhluk-makhluk halus atau merasai tindakan makhluk-makhluk tersebut.

Nabi s.a.w.. bersabda, " Setiap anak Adam ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya oleh syaitan dengan jarinya kecuali 'Isa ibni Maryam', syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya)." Kerana itulah bayi yang baru lahir dapat merasai tusukan tersebut lalu menangis.  Tidak hairan juga jika ada bayi-bayi yang menangis pada waktu senja atau tengah malam kerana diganggu oleh makhluk-makhluk ini.  

Selain kanak-kanak, Islam juga melarang penganutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran pada waktu senja.  Di kalangan jin dan syaitan, mereka juga mempunyai haiwan ternakan.  Boleh jadi dibimbangi haiwan ternakan manusia ini akan dirosakkan oleh jin yang menyerupai anjing atau oleh haiwan ternakan jin itu sendiri.

**** Menutup Bekas Minuman dan Makanan ****

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.. " Apabila seseorang itu memasuki rumahnya dan mengingatiALLAH (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan berkata kepada golongannya, 'Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam'.  Sebaliknya apabila seseorang itu memasuki rumah dan ketika ingin makan tidak mengingati ALLAH, syaitan berkata kepada golongannya, 'Kalian telah mendapat tempat bermalam'," (HR Muslim)

Tegasnya, perintah Rasulullah s.a.w.. agar menutup bekas air dan makanan ada asasnya.  Penemuan sains dan perubatan moden menunjukkan, makanan atau minuman yang terdedah akan mudah dimasuki kuman dan bakteria.  Ia boleh mengundang pelbagai penyakit dan kemudaratan kepada kesihatan manusia.


~ Sumber : Majalah Al-Islam (November 2011) m/s 14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan