PELALAU (Bahagian 1)
:: Disini kita pelajari sikit sebanyak tentang sihir pelalau, maklumat-maklumat yang ada disini bukan saya tulis ikut pandai sendiri, tapi dari sumber yang diyakini. ::
Pelalau atau dikenali dengan nama " Sihir Taitilu Az Zawaji ", antara sebab yang menjadikan sesuatu perkahwinan tidak menjadi.
Mengulas mengenainya, Perawat Perubatan Islam Sinar Zamdurani, Sharhan Safie, kebanyakan kes yang diterimanya melibatkan penghalang perkahwinan. Kebiasaannya mangsa yang dijadikan pelalau ini adalah wanita.
Namun begitu, bukan hanya untuk perkahwinan, pelalau juga digunakan untuk menghalang perniagaan, menghalang pembelajaran dan juga pekerjaan.
Tujuan sihir pelalau ini ialah untuk menghalang pesakit dari mencari rezeki sama ada di tempat kerja atau premis perniagaan, menghalang perkahwinan atau menghalang kemajuan dalam pembelajaran. Semua usaha untuk mencari rezeki ini terhalang tanpa sebab yang munasabah.
Biasanya juga ia dilakukan disebabkan oleh sifat hasad dengki dan khianat serta permusuhan yang berlaku antara individu.
Apabila seorang individu terkena sihir halang perkahwinan dan pertunangan ini, mangsa berasa tidak bernafsu ataupun tertutup hati mahu berkahwin. Malah mangsa lebih suka menyendiri dan berkurung sahaja tanpa bergaul dengan masyarakat sekeliling.
Peluang mengadakan pertunangan dan perkahwinan yang dirancang selalu terhenti di tengah jalan. Apabila sihir berlaku kepada perempuan, selalunya rombongan meminang akan melihat perempuan itu hodoh, kurang menarik atau perempuan itu tidak semena-mena menjadi marah ataupun berang kepada rombongan lelaki yang datang.
Manakala, apabila lelaki yang menjadi mangsa, dia seolah-olah tidak ada nafsu kepada wanita. Sihir kebanyakannya dihantar oleh bekas kekasih ataupun orang yang meminati magsa atas alasan membalas dendam kerana cinta yang tidak berbalas.
Sihir pelalau perkahwinan juga adalah sihir bagi mengunci nafsu mangsa sihir. Ini menyebabkan mangsa hilang motivasi ataupun berasa rendah diri ataupun dalam bahasa saintifiknya ' inferiority complex '. Selain itu, ia juga menyebabkan orang lain yang memandang mangsa sihir seperti hodoh ataupun tidak menarik.
Sihir pelalau ini biasanya menggunakan khidmat makhluk halus iaitu jin. Misalnya, sihir pelalau perniagaan, makhluk halus mahupun jin-jin tersebut dihantar oleh bomoh untuk memastikan premis perniagaan berkenaan tidak dikunjungi oleh pelanggan dengan pelbagai cara.
Pesakit-pesakit yang mengalami sihir pelalau ini dihinggapi jin dalam tubuh dan otak mereka. Jin-jin inilah yang mempengaruhi dan menguasai pemikiran dan perasaan pesakit supaya berkelakuan seperti malas, bingung, gelisah, resah, pemikiran tidak fokus, mengantuk yang berlanjutan, sakit seluruh badan, panas baran, selalu marah-marah tanpa sebab dan lain-lain.
:: Sumber dari - Majalah Al-Islam ( November 2012 )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan